Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pengaruh dalam tinjauan Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) berkaitan Kajang yang menghasilkan dapatan positif padanya, dakwa Datuk Zaid Ibrahim.

Calon penentang Anwar di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mendakwa, Anwar mempunyai peranan dalam tinjauan yang mendapati pengundi memihak kepada kemungkinannya menjadi menteri besar.

Dakwa Zaid, ketika Lee Chin Cheh berundur sebagai anggota DUN – sekali gus memaksa pilihan raya kecil – Anwar mendapatkan Mohammad Redzuan Othman bagi menjalankan tinjauan segera.

"Redzuan pengarah Umcedel. Beliau juga kawan Anwar ketika zaman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),” kata Zaid dalam blognya hari ini.

“Tidak mengejutkan, tinjauan Umcedel mendapati majoriti pengundi Kajang setuju bahawa pilihan raya kecil tidak membazirkan wang rakyat.

“Umcedel juga mendapati majoriti pengundi Kajang setuju bahawa Anwar patut menjadi menteri besar Selangor.”

Menurut tinjauan itu, sebanyak 59 peratus daripada 576 responden berkata “ya” apabila ditanya sama ada munasabah mengadakan pilihan raya untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar.

[Baca berita penuh]