Selepas NGO PERKASA menolak jemputan dialog Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pula mengikut jejaknya apabila menyatakan majlis itu tidak mewakili seluruh lapisan masyarakat termasuk NGO Islam.

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata pihaknya meragui idea MKPN untuk melakukan jelajah ‘dialog perpaduan’ kerana mendakwa sebahagian besar anggota majlis itu dilihat cenderung kepada pemikiran Islam liberal.

"Hakikatnya, berkemungkinan ia akan membawa kepada pencairan pemikiran umat Islam terhadap kemuliaan Islam itu sendiri,” katanya seperti dilapor dalam laman web Isma.

Mengesahkan menerima jemputan rasmi menghadiri dialog tersebut, Aminuddin berkata MKPN sepatutnya memikirkan dan menyetujui terlebih dahulu beberapa perkara asas sebelum dialog itu dijalankan.

Antaranya ialah penyertaan NGO Islam dengan lebih meluas dalam setiap dialog termasuk sebagai panelis dan mengiktiraf negara ini sebagai sebuah negara Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tanpa ada pertikaian.

Selain itu, MKPN perlu memastikan semua prinsip perlembagaan termasuk keistimewaan orang Melayu tidak digugat di samping menolak sebarang campur tangan pihak luar yang boleh menggugat kestabilan negara.

Jelajah ‘Dialog Perpaduan’ sebanyak 18 sesi akan berlangusng ke seluruh negara bertujuan menggubal pelan tindakan perpaduan negara bagi melengkapkan rancangan rekonsiliasi kerajaan.

Ia diadakan di antara 22 Februari hingga 30 Mac  2014 di mana sesi yang pertama Sabtu lalu.