TPM serah pada PM soal MCA sertai kabinet
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjelaskan keputusan MCA untuk menyertai jemaah menteri semula diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memutuskannya.
"Yang penting MCA telah buat keputusan. Mungkin akan maklumkan kepada PM. Dari segi jemaah menteri kita, serahkan kepada PM untuk buat keputusan yang sesuai," katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau menjawab soalan pemberita bila jangkaan MCA akan menyertai jemaah menteri semula sebagaimana yang diputuskan perwakilan MCA dalam mesyuarat agung Luar biasa (EGM) semalam.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang ditemui Malaysiakini selepas sidang media itu berkata keputusan menyertai semula jemaah menteri bukan satu isu dan ia dibuat pada masa yang tepat.
"Ini bukan satu isu, MCA adalah satu parti politik, kita akan selalu buat kajian semula dari masa ke semasa.
"Jadi kita tengok sudah masanya (sertai jemaah menteri) dan perwakilan pun telah buat keputusan dan kita menghormati keputusan itu," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung untuk menggugurkan perkataan 'bangsa' dalam semua borang rasmi yang dilapor dicadang Tan Sri Joseph Kurup, Muhyiddin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.
"Itu boleh dibincangkan dalam jemaah menteri, itu cadangan daripada Jawatankuasa Perpaduan dan sebagainya. Apa-apa keputusan yang ada kaitan dengan undang-undang dan dasar kerajaan, mungkin ada kertas yang khusus kita akan bincangkan.
"Nanti jemaah menteri akan buat keputusanlah," katanya.

