Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) menggesa pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang kini ditangguhkan, mengambil teladan daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dimansuhkan.

Ketua pemudanya, Nor Azman Mohamad berkata sebarang dasar yang mahu dilaksanakan perlu dibincangkan secara menyeluruh meliputi kesan baik dan buruknya.

"DPPNS bertegas agar kita mengambil pengajaran dari isu PPSMI. Berapa banyak wang, masa dan tenaga yang telah dilaburkan?

"Bagaimana pula dengan kesannya? Adakah berbaloi? Paling sadis bukan sekadar mendapat impak yang mengecewakan, malah dasar yang dijulang-julang itu akhirnya ditamatkan," katanya.

Semalam, guru dilaporkan tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

    

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula PBS setelah Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

    

Katanya penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).