Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah (Murshid) Zaharuddin Abdul Rahman menyarankan umat Islam di Selangor mengadakan solat istisqa' khususnya untuk memohon hujan berikutan krisis air yang berlarutan.

Pengerusi NGO itu Zaharuddin Abdul Rahman berkata solat sunat itu seelok-eloknya dilakukan di kawasan terjejas dan lebih afdal ditunaikan pada waktu dhuha selepas jam 8 pagi, lapor Sinar Harian hari ini.

"Menjadi sunat muakkad bagi orang Islam di sesuatu tempat yang telah lama tak turun hujan melakukan solat istisqa'.

"Seeloknya penduduk di kawasan itu keluar beramai-ramai dan melakukan solat istisqa di tempat terbuka. Solat Istisqa kebiasaanya didahului dengan khutbah ringkas.

"Kemudiannya diteruskan dengan solat dua rakaat dengan bacaan secara kuat dan diakhiri dengan doa yang bersungguh-sungguh," katanya seperti dilapor akhbar itu.

 

Laporan itu juga menyebut Zaharuddin berkata masyarakat perlu menginsafi hikmah di sebalik ketiadaan air yang berpanjangan dengan memperbanyak istighfar kepada Allah selaras dengan tuntutan al-Quran.

"Selain daripada faktor fenomena alam, ketiadaan hujan juga berkait rapat dengan amalan kita.

"Mungkin Allah mahu menyekat sebentar hujan agar kita menginsafi kesalahan kita," katanya yang juga seorang pendakwah.