PERKASA: Tubuh JK siasat kerugian MAS
NGO pendesak Melayu PERKASA mendesak kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa khas yang bebas bagi menyiasat kerugian lebih RM1 bilion yang dialami syarikat penerbangan Malaysia (MAS) pada 2013.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata jawatankuasa mesti melakukan bedah siasat kepada keseluruhan organasasi MAS bagi mengenalpasti punca kerugian sekaligus memberi cadangan yang wajar untuk kerajaan laksanakan.
Menurutnya lagi, jawatankuasa itu perlu dianggotai tokoh berwibawa dalam bidang profesional dan kewangan selain wakil Kesatuan Kakitangan MAS (MASEU) dan bekas ketua pengarah eksekutifnya sebelum ini.
"Apakah pelan pemulihan oleh pengurusan (MAS) sekarang ini boleh di terima untuk jamin keuntungan MAS atau sebaliknya.
"Apabila laporan dan cadangan siap di keluarkan, semua pihak mesti sokong dan kerajaan mesti akur," kata beliau dalam kiriman SMS hari ini.
Dalam laporan media sebelum ini, MAS mencatat kerugian RM1.174 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kerugian RM433 juta yang dicatatkannya pada 2012.
Kerugian itu direkodkan di sebalik peningkatan pendapatan kasar sebanyak 36 peratus iaitu RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2013 berbanding RM187 juta pada akhir 2012.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, tahun lalu adalah tahun mencabar kerana persaingan sengit yang memberi kesan kepada pendapatan syarikat.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata kerugian yag dialami dua syarikat penerbangan pesaing MAS - Air AsiaX dan Thai Airways - bukan alasan bagi MAS untuk terus mengalami kerugian sebaliknya kajian perlu dibuat.
"AirAsiaX pun rugi RM218 juta pada 2013. Mungkin orang ramai terlepas pandang. Asyik puji saja. Kalau mereka pandai, kenapa AirasiaX pun rugi.
"Thai Airways juga rugi 12 billion Bath 2013 tapi ini bukan alasan unutk MAS terus rugi tapi kajian adil perlu dibuat," kata beliau lagi.

