Lebih 100 pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di Kulaijaya melahirkan rasa tidak puas hati dengan kebanjiran teksi eksekutif di kawasan itu sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

    

Pemangku Yang Dipertua Persatuan Pemandu Teksi LTAS Zulkifli Ahmad berkata masalah itu sudah berlarutan sejak pertengahan November lepas sehingga kini menyebabkan pendapatan 118 pemandu teksi di LTAS terjejas hampir 50 peratus setiap hari.

    

"Teksi eksekutif ataupun teksi berwarna biru memang tidak dibenarkan beroperasi di mana-mana lapangan terbang di negara ini.

    

"Sehubungan itu, sikap kira-kira 60 pemandu yang terlibat berserta kaunter tiket yang turut disediakan di lapangan terbang ini amat kami kesali," katanya kepada pemberita di Kulaijaya hari ini.

    

Zulkifli berkata walaupun penumpang teksi ketika ini meningkat ekoran pertambahan penerbangan di LTAS, namun kehadiran teksi eksekutif itu sudah tentu menyukarkan pemandu teksi LTAS mendapat penumpang.

    

Zulkifli berkata tindakan telah diambil pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap perbuatan itu namun ada pemandu teksi eksekutif yang masih berdegil mengambil penumpang.

    

Katanya perbuatan itu juga dibimbangi mencemar nama baik LTAS sebagai gerbang masuk selatan negara kerana pihaknya ada menerima aduan daripada beberapa penumpang mengenai kadar tambang tinggi yang dikenakan teksi eksekutif.

    

"Kebiasaannya kadar tambang teksi LTAS ke pusat bandar raya adalah sekitar RM40 sehingga RM44, namun, kita ada mendengar rungutan penumpang teksi

biru yang dikenakan tambang mencecah RM78 dari LTAS ke pusat bandar raya," katanya.

    

Sehubungan itu, beliau berkata persatuan itu mahu pihak-pihak bertanggungjawab mengambil langkah tertentu mengekang perbuatan itu daripada berterusan sehingga menjejaskan pemandu-pemandu teksi LTAS mencari rezeki.

    

- Bernama