Gerakan: Jangan salahkan MoU air S'gor
Pemuda Gerakan hari ini menghantar memorandum kepada Pakatan Rakyat supaya mengambil iktibar daripada tindakan yang diambil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menangani krisis air di negeri itu.
Ia ekoran perlaksanaan memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan pusat semalam.
Memorandum oleh Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang itu dihantar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin utama Pakatan Rakyat.
"Melalui tindakan ini menunjukkan kerajaan pusat tidak mengenepikan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang.
"Kita hantar memorandum ini pada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin Pakatan Rakyat supaya tindakan menteri besar bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam MOU, jadi iktibar kepada semua pemimpin Pakatan pada masa akan datang," katanya.
Memorandum itu antaranya turut mengucapkan tahniah kerana berjaya dimaterai walaupun menurutnya “lambat lima tahun”.
Tan bersama 14 ahli pemuda Gerakan menghantar memorandum di luar ibu pejabat PKR kepada Setiausaha Politik Anwar , Shukri Saad kira-kira jam 11:30 pagi.
Memorandum tersebut menuntut pemimpin pakatan tidak menyalahkan mana-mana pihak ke atas pendekatan yang diambil Khalid.
Sebaliknya, menanggap usaha MB Selangor dan kerajaan pusat itu memberi manfaat kepada rakyat.
Justeru itu, beliau menyeru Pakatan menerima "secara konsisten" usaha kerajaan BN untuk membantu tiga juta pengguna air di Selangor yang terjejas akibat catuan air di negeri itu.
Selangor dan kerajaan persekutuan semalam mencapai persetujuan kerajaan berhubung pengambilalihan pengurusan syarikat-syarikat bekalan air negeri.
Kerajaan negeri akan menerima pampasan RM9.65 bilion dan kerajaan persekutuan pula akan menyuntik dana berjumlah RM2 bilion bagi membantu menguruskan syarikat yang terlibat.
Selangor juga membenarkan kerajaan persekutuan meneruskan pembinaan loji rawatan air Langat 2.

