Puncak Niaga Holdings Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM236.738 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 daripada RM325.372 juta yang dicatat pada 2012.

    

Hasil syarikat susut kepada RM1.147 bilion daripada RM1.563 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.   

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2013, syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM4.512 juta dari keuntungan RM52.042 juta pada suku yang sama tahun 2012.    

    

Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM294.925 juta berbanding RM434.458 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak RM139.6 juta atau 32.1 peratus.

Pengurangan dalam hasil ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada segmen pembinaan, minyak dan gas, kos operasi yang lebih tinggi kemerosotan nilai hutang jangka panjang.    

    

Mengenai prospek dalam sektor air, kumpulan itu berkata ia secara aktif sedang mengkaji cadangan untuk menyediakan penyelesaian air kepada kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan infrastruktur air yang sedia ada dan untuk meningkatkan bekalan air bersih di kawasan luar bandar seluruh negara.    

    

Kumpulan juga akan terus mencari peluang-peluang dalam sektor minyak dan gas selaras dengan wawasannya untuk menjadi pemain utama dalam sektor, katanya dan menambah syarikat optimistik mencapai pertumbuhan berterusan jangka panjang.

    

- Bernama