Cuaca panas yang melanda negara sekarang ini menyebabkan paras air mentah di empangan-empangan utama di Selangor akan hanya bertahan antara 70 sehingga 172 hari, lapor Berita Harian hari ini.

Laporan itu menyebut, empangan Klang Gate di Taman Melawati akan hanya bertahan selama 70 hari, empangan Sungai Langat selama 84 hari dan empangan Tasik Subang selama 172 hari.

Pengarah Eksekutif Bahagian Operasi dan Penyelenggaraan Puncak Niaga, Abdul Rashid Abdul Satar berkata susulan itu pihaknya akan menghentikan pelepasan air mentah dari empangan Klang Gate ke loji pemprosesan air di Wangsa Maju, bermula esok.

Dalam laporan itu, beliau berkata ia akan menyebabkan kawasan tersebut bakal berhadapan masalah air dan berdepan catuan air.

"Kita terpaksa hentikan kerana sumber takungan semakin kritikal dan tidak mampu melepaskan air ke loji berkenaan.

"Apa-apa pun SYABAS masih boleh mencari inisiatif lain termasuk mengepeam air dari Sungai Gombak (untuk sumber air mentah)," katanya seperti dilapor akhbar itu.