CJ: Mediasi mampu kurangkan kes tertunggak
Prosiding penyelesaian kes secara mediasi dilihat mampu membantu mahkamah mengurangkan kes-kes tertunggak, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Bagaimanapun beliau berkata mahkamah tidak akan mendesak mana-mana pihak untuk memilih kaedah itu semata-mata bagi membantu mahkamah melupuskan kes.
"Mahkamah tidak boleh dalam keadaan mendesak pihak-pihak memilih mediasi. Sebaliknya mediasi hendaklah dibuat secara berhemah selepas mendapat persetujuan kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Mahkamah Selangor di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.
Pusat mediasi itu merupakan yang ketiga selepas pembukaan Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur pada 2011 diikuti Johor Baharu pada penghujung 2012.
Prosiding mediasi merupakan kaedah penyelesaian pertikaian yang dijalankan tanpa proses mahkamah. Ia adalah percuma dan hakim akan bertindak sebagai pengantara bagi membantu menyelesaikan pertikaian dalam suatu tindakan perundangan.
Arifin berkata perkhidmatan itu disediakan sebagai alternatif kepada perbicaraan yang merupakan situasi kalah-menang.
Mengikut statistik, Pusat Mediasi Mahkamah Selangor berjaya menyelesaikan 168 kes daripada 539 kes yang didaftarkan antara awal 2013 hingga Januari lepas.
Sementara sejumlah 234 kes telah dirujuk semula ke mahkamah untuk perbicaraan dan 137 kes lagi masih dalam proses mediasi.
Arifin berkata selain itu, prosiding tersebut mampu menamatkan pertikaian tanpa menjejaskan perhubungan kedua-dua pihak dan secara tidak langsung memberi keuntungan kepada mereka.
"Contoh, apabila ada pergaduhan adik-beradik berhubung harta pusaka, apabila melibatkan berbicaraan di mahkamah pasti seorang dari mereka akan menang (dalam kes) dan yang kalah pasti ada rasa tidak puas hati akhirnya membawa kepada permusuhan.
"Bila ikut prosiding mediasi pihak-pihak ini boleh berbincang serta mampu menyelesaikan kes tanpa sebarang prejudis dan sekali gus mengelakkan sebarang permusuhan antara kedua-dua pihak," tambahnya.
- Bernama

