Sekumpulan NGO dan persatuan pengusaha percetakan masih menunggu tindakan lanjut Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa yang berjanji membawa bantahan mereka ke kabinet berhubung penyambungan konsesi kontrak mencetak dan mengedar buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Syarikat Dawama Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan, Pegawai Kluster Polisi dan Ekonomi MTEM, Rizal Jaafar berkata perkara itu dicapai dalam dialog selepas mereka menghantar memorandum berhubung bantahan itu tahun lalu.

Menurutnya lagi, MTEM masih menunggu respon memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu.

"Sebelum ini (tahun lalu) kita telah menghantar tiga memorandum kepada PM, TPM dan ketua setiausaha negara, (Tan Sri) Ali Hamsa.

"Namun setakat ini kita hanya mendapat respon daripada ketua setiausaha negara. Kita ada berdialog, beliau memaklumkan perkara itu akan dibawa ke kabinet nanti dan kita juga masih menunggu respon PM dan TPM berhubung perkara itu," katanya.

Rizal berkata demikian dalam sidang media di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di ibu negara hari ini.

Turut hadir Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) Persatuan Syarikat Pengangkutan Buku Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Pengedar Buku DBP dan Persatuan Bekas Pekerja Dawama.

Sementara itu, Presiden PPPMM Datuk Badruddin Abu Bakar berkata pihaknya mengulangi desakan itu ekoran dakwaan beberapa blog bahawa kerajaan akan menyambung kontrak Dawama, yang akan tamat pada 30 Ogos depan.

Beliau mendakwa sepanjang 12 tahun Dawama menerajui konsesi itu, prestasi syarikat percetakan "kebanggaan kerajaan" sebelum ini 'menguncup' dan telah ditutup.

Malaysiakini telah menghubungi Syarikat Dawama untuk mendapatkan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Nor Hisam Mohamad Nor berhubung perkara yang dibangkitkan.

Bagaimanapun Malaysiakini dimaklumkan beliau sedang bermesyuarat dan diminta meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi semula.