SPDP percepat penyertaan semula 4 ADUN, bekas MP
Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan mempercepatkan proses penyertaan semula ke dalam parti itu melibatkan empat ADUN dan seorang bekas Anggota Parlimen yang dipecat daripada parti itu tiga tahun lepas.
Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom hari ini berkata proses itu dapat dilaksanakan sebaik sahaja selepas parti menerima permohonan rasmi dari ADUN terbabit, iaitu Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus, selain bekas Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, untuk menyertai semula parti itu.
"Anda tidak boleh menerima semula jika mereka tidak menyatakan bahawa mereka akan kembali (dengan menyerahkan borang permohonan).
"Jika ia satu proses yang berpanjangan, saya boleh memendekkannya dengan hanya mendapatkan keputusan daripada majlis tertinggi supaya mereka diterima semula," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar bahawa parti itu semakin hampir untuk menerima kembali penyertaan kumpulan berlima itu yang dipecat antara November 2011 hingga Januari 2012 kerana ingkar perintah.
Nansian, Entri dan Rosey, yang juga menteri muda negeri, berserta Paulus dan Dr Tiki, yang digelar sebagai 'Kumpulan Berlima' mengekalkan pendirian bahawa mereka mesra Barisan Nasional (BN) meskipun dipecat.
Bagaimanapun, Dr Tiki, membuat keputusan bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi gagal mengekalkan kerusi Parlimen Mas Gading setelah kalah kepada muka baharu daripada SPDP, Anthony Nogeh Gumbek.
Khabar angin tentang perdamaian itu muncul selepas bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan penggantinya, Tan Sri Adenan Satem, semasa mesyuarat Kabinet negeri terakhir sebelum ini, menasihati Mawan dan Kumpulan Berlima itu agar berdamai.
Mawan hari mengakui bahawa beliau dan Entri saling berpelukan semasa pertemuan itu, berkata Taib dan Adenan mahu SPDP menyelesaikan masalah dalaman
mereka untuk memulihkan semula kekuatan parti.
"Kita tidak boleh menyelesaikan masalah jika kita tidak dapat menguruskan emosi kita. Saya percaya masa yang berlalu memberi kita ruang untuk saling
bermaafan dan melupakan perkara silam," kata Mawan, yang juga menteri pembangunan sosial negeri.
Ditanya sama ada terdapat tempoh khusus untuk SPDP menerima mereka berlima, beliau menjawab: "Dalam politik tiada sesuatu pun yang khusus."
- Bernama

