Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi berkata, beliau hanya akan mengulas isu kesediaannya bertanding jawatan timbalan presiden PKR selepas pilihan raya kecil Kajang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah penyertaan beliau dan penyandang Azmin Ali akan memecahbelahkan parti.

"Tidak. Saya telah pun memberitahu bahawa saya akan membincangkan perkara ini untuk pertandingan timbalan presiden dilakukan selepas pilihan raya kecil pada Mac 23.

"Jadi saya tidak mahu membincangkan perkara itu sehingga masa tersebut.

"Kerana sekarang tumpuan PKR ke arah memenangi pilihan raya kecil N25 (Kajang)," katanya dalam Fiesta Sate Selangor sempena bulan melawat Hulu Langat.

10,000 sate percuma

Sementara itu, Khalid mencadangkan supaya Fiesta Sate Selangor dijadikan acara tahunan untuk menarik pelancong dalam dan luar negara.

Beliau juga menjamu 10,000 cucuk sate ayam percuma kepada kira-kira 500 tetamu yang hadir dari sekitar Kajang, untuk memeriahkan acara.

"Saya mencadangkan Fiesta Sate Selangor sebagai acara tahunan buat seluruh warga tempatan dan luar negara, kajang adalah bermulanya fiesta sate ini," katanya