Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Teknologi hijau di landasan betul
Diterbitkan:  Mar 2, 2014 4:24 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Rancangan dan pelaksanaan pembangunan lestari dan kemajuan teknologi hijau yang kini diamalkan di Malaysia berada di landasan betul, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru itu, katanya kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperluaskan amalan mesra alam dan aplikasi teknologi hijau sebagai usaha memelihara khazanah semulajadi negara dan alam sekitar di samping memastikan persekitaran kondusif untuk kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

"Sebagai bukti bahawa kerajaan berada di landasan perancangan dan pelaksanaan yang betul bagi pembangunan lestari dan kemajuan teknologi hijau, laporan dwi-tahunan Environment Performance Indeks (EPI) 2012 dihasilkan oleh Yale University menunjukkan negara menduduki tangga ke-25 dari 132 buah negara, meningkat dari kedudukan ke-54 dalam laporan tahun 2010," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Teknolog Hijau Negara secara holistik dan berterusan agar dapat memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara yang mampan.

Katanya antara perkara yang termaktub dalam dasar berkenaan termasuk pelaksanaan penjimatan utiliti sebanyak lima peratus bermula tahun ini di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Di samping itu, katanya pihak industri khususnya industri kecil dan sederhana juga digalakkan terus memperkasa agenda kecekapan teknologi hijau seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi tempoh 2012-2020.

Bagi pihak kerajaan pula telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) pada 2010 bagi menyokong pihak industri membangunkan keupayaan teknologi hijau, katanya.

Katanya skim berkenaan bertujuan meningkatkan amalan kelestarian dan mesra alam dalam operasi kerja perniagaan dan proses-proses pengeluaran di kalangan penggiat industri.

Muhyiddin berkata sehingga Februari 2014, GTFS telah berjaya memberikan manfaat kepada 124 projek berasaskan Teknologi Hijau diusahakan IKS tempatan dengan jumlah pembiayaan pinjaman mudah sebanyak RM1.66 bilion daripada RM3.5 bilion disediakan kerajaan.

Katanya melalui inisiatif berkenaan sebanyak 1,729 pekerjaan hijau telah dapat diwujudkan melalui pelaksanaan projek-projek tersebut.

"Dengan adanya baki dana sebanyak RM1.84 bilion, saya menyeru agar pihak industri khasnya IKS untuk merebut peluang bantuan kewangan ini bagi memudahkan peralihan kepada proses dan mekanisme yang dapat menghasilkan pengeluaran produk dan perkhidmatan yang lebih efisien dan berlandaskan piawaian mesra alam," katanya.

Katanya bagi mempercepatkan agenda teknologi hijau negara, kerajaan melalui Bajet 2014 bersetuju menyediakan insentif seperti pemberian galakan elaun cukai pelaburan ke atas pembelian peralatan Teknologi Hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta sistem Teknologi Hijau.

Sehubungan itu beliau menggesa usahawan tempatan mengambil kesempatan bekerjasama dengan KeTTHA bagi memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kewangan dan bukan kewangan disediakan kerajaan.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menyaksikan acara pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara YaHijau dengan Kementerian Pendidikan dan Universiti Sains Malaysia bagi kerjasama menggalak dan menyebarluaskan amalan hidup hijau di kalangan pelajar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS