Kerajaan Negeri Selangor yakin kos RM 9.65 bilion untuk mengambil alih syarikat konsesi air negeri itu tidak akan melambung.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Faekah Hussin ( kiri ) berkata klausa itu telah dimasukkan dalam memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Selangor dan kerajaan persekutuan minggu lalu.

"Kebimbangan mengenai kemungkinan keputusan majlis timbang-tara antarabangsa bakal menaikkan kos tidak berasas dan tidak tepat kerana kerajaan negeri telah membuat pertimbangan semua kemungkinan dan risiko berkaitan apabila bersetuju menandatangani MOU itu.

"Kerajaan negeri sentiasa yakin penilaian ekuiti - dengan pulangan 12 peratus setahun - mampu dipertahankan pemeriksaan antarabangsa. Sebelum ini, keyakinan ini tidak dipersoalkan," kata Faekah dalam satu kenyataan hari ini.

Faekah memberi respon pertanyaan Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR Wong Chen semalam bahawa penglibatan majlis timbang-tara antarabangsa boleh menyebabkan syarikat konsesi meminta lebih dari nilai yang ditawarkan sehingga RM 14 bilion.

Beliau yang juga bekas setiausaha politik Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan perkara dalam MOU tersebut telah pun dibincangkan dan didedahkan kepada awam dalam majlis diskusi dan kenyataan media sebelum ini.

[Baca berita penuh]