Azmin: P'raya dulu, pemilihan kemudian
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau belum membuat keputusan bertanding dalam pemilihan parti untuk memberi fokus kepada pilihan raya kecil (PRK) Kajang 23 Mac ini.
Beliau berkata sebagai pengarah pilihan raya peringkat nasional PKR, penting bagi beliau bertanggungjawab untuk memastikan jentera PRK itu berjalan dengan lancar.
"Saya belum buat keputusan (bertanding dalam pemilihan parti), saya mahu fokus di Kajang," kata beliau ketika ditemui selepas ceramah diTaman Saga Emas, Kajang semalam.
Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengejutkan banyak pihak bila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, April ini.
Bagaimanapun Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata kempen untuk jawatan tersebut hanya akan bermula selepas pilihan raya kecil itu.
Khalid dikatakan mahu berhadapan dengan Azmin yang merupakan penyandang jawatan itu di peringkat parti serta menjadi pengerusi PKR negeri.
Anwar: Persaingan dalam persahabatan
Bagaimanapun Azmin dengan tenang menolak untuk mengulas hal itu sebaliknya menegaskan kepentingan Pakatan Rakyat dan PKR agar bersatu dalam memastikan kemenangan di PRK Kajang.
"Dalam parti yang mengamalkan demokrasi sesiapapun boleh bertanding dalam apa jua jawatan.
"Tetapi saya ingin menegaskan fokus hari ini ialah memastikan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar menang bergaya di Kajang," kata beliau.
Sementara itu, Anwar dalam ceramahnya mengulas ringkas hal ini mahu ahli parti bertanding mengikut garis panduan dan perlembagaan parti.
Menurut Anwar semangat persahabatan dalam parti perlu dikekalkan selain mendukung agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan parti berusia 16 tahun itu.
"Persaingan itu mestilah dalam kerangka persahabatan dan semua agenda menyokong reformasi serta menghalang apa-apa kecaman sengit antara satu sama lain," kata beliau.

