Harga-harga saham di Bursa Malaysia rendah pada akhir sesi pagi hari ini, terjejas akibat kerugian yang dialami kaunter-kaunter berkaitan indeks dan kewangan, berikutan krisis di Ukraine yang

melemahkan sentimen.

Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,823.51, susut 12.15 mata selepas turun naik antara 1,813.6 dan 1,835.27 di sepanjang sesi pagi.

Aliran harga menurun dalam indeks komposit berlaku disebabkan oleh kerugian di kaunter berkaitan indeks dan kewangan seperti Maybank, Petronas Gas, IHH Healthcare dan CIMB.

Seorang peniaga berkata prestasi bercampur-campur Wall Street pada Jumaat serta ketegangan yang semakin meningkat di Ukraine mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelaburan tempatan.

Di papan skor, Indeks Kewangan susut 145.95 mata kepada 16,460.17, Indeks Perladangan turun 11.12 mata kepada 8,748.01 dan Indeks Perusahaan susut 23.23 mata kepada 3,105.9.

Indeks FBM Emas turun 78.88 mata kepada 12,590.63, Indeks FBMT100 susut 76.09 mata kepada 12,279.67, FBM 70 turun 62.94 mata kepada 13,770.77, manakala FBM Ace susut 36.95 mata kepada 6,406.92.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 560 berbanding 184, 250 kaunter tidak berubah, 621 tidak diniagakan dan 14 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.14 bilion saham bernilai RM872 juta.

Antara kaunter aktif, Daya Materials susut tiga sen kepada 37.5 sen, namun Minetech kekal pada 18 sen.

Bagi kaunter wajaran tinggi, TNB menokok dua sen kepada RM12.02, namun Axiata tidak berubah pada RM6.55.

Bagaimanapun, Maybank rugi lapan sen kepada RM9.70, CIMB susut tujuh sen kepada RM7.09 manakala Sime Darby turun empat sen kepada RM9.07.

- Bernama