PKR: Mesyuarat exco tak bincang MOU air
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mempersoalkan kesahihan memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan Selangor dan persekutuan berhubung penstrukturan semula air yang didakwanya dimaterai secara tidak telus.
Katanya, MOU tersebut sepatutnya dibincangkan di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum ditandatangani menteri menteri besar minggu lalu.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Rafizi mendakwa ia adalah berdasarkan satu kenyataan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Incorporated, Faekah Husin.
"Mengikut kenyataan Faekah Hussin, MOU ini hanya diketahui dan dimuktamadkan kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan, maka ia sudah tentu tidak melalui mesyuarat exco.
"Tanpa kelulusan mesyuarat exco, kesahihan MOU ini boleh dipersoalkan," kata Rafizi.
Faekah dalam satu laporan akhbar Sinar Harian , Sabtu lalu menjelaskan bahawa perbincangan sehingga mencapai MOU berkenaan tidak didedahkan untuk mengelakkan dari gangguan.
Beliau juga berkata, majlis menandatangani MOU pada 26 Februari hari itu juga tidak dimaklumkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat lain, antara lainnya kerana "ketidakpastian perjanjian".
Menurut Faekah, beliau mewakili Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuat rundingan pada hari tersebut, dan ia seterusnya ditandangani menteri besar tersebut beberapa jam kemudian.
Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili menandatangani MOU tersebut mewakili kerajaan persekutuan dalam majlis yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Rafizi turut memuatkan dokumen didakwa sebagai MOU tersebut di blog rafiziramli.com bersama kenyataan medianya.

