Red Bean: DAP persoal 'surat bohong'
DAP hari ini mempersoalkan langkah akhbar Umno Utusan Malaysia membangkitkan semula isu 'pasukan siber' Red Bean Army (RBA) setelah isu itu tamat Jun tahun lalu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, dakwaan melalui kolum terbaru Awang Selamat itu semata-mata “dongeng moden yang tidak mempunyai kebenaran walau sebesar zarah.”
“Pertanyaan yang ingin saya bangkitkan hari ini ialah mengapa pengarang Utusan tiba-tiba membangkitkan semula dongeng Tentera Kacang Merah – yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai oleh 3,000
cybertrooper –
sedangkan sejak enam bulan lalu ia telah berhenti sama sekali menyebut tentang perkara itu?” soalnya.
Awang Selamat semalam antaranya menulis, ramai tertanya-tanya tindakan terhadap RBA yang didakwanya banyak melakukan fitnah, tohmahan dan provokasi dahsyat, terutama semasa musim pilihan raya umum lalu.
“Semua tahu perbuatan mereka mengancam keselamatan negara tetapi mereka terlepas begitu sahaja,” coret Awang Selamat
“Awang berpendapat pihak berkuasa telah memberikan isyarat yang salah seolah-olah kumpulan kecil ekstremis seperti RBA dan DAP lebih diutamakan berbanding majoriti rakyat.”
Lim hari ini menegaskan kembali kenyataannya sebelum ini bahawa “kegilaan” itu “agenda sulit” menghalalkan peruntukan besar untuk “memerangi RBA yang tidak wujud”.
“Utusan menghidupkan semula dongeng ini kerana laba dan wang,” dakwanya.
“Ia jelas merupakan usaha terdesak askar upahan Umno supaya mereka tidak diketepikan dari mendapat dana perang siber Umno jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.
Lim turut menggelar akhbar itu sebagai “surat bohong” dan bukan “surat khabar” berhubung penyiaran artikel terbaru itu.

