Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan The Herald.

Dalam kenyataannya, Naib Presiden ISMA, Muhammad Fauzi Asmuni berkata keputusan itu perlu kekal kerana kalimah itu eksklusif untuk umat Islam dan perlu dipertahankan.

"Keputusan tersebut amat penting demi menjaga kesucian dan kedaulatan Islam di negara ini.

"Keputusan sebelum ini selari dengan banyak perkara lain seperti titah Sultan, fatwa negeri bahkan Al-Quran dan hadis yang mengarahkan agar Allah disembah dengan sifatNya yang Maha Esa," kata Fauzi.

Sehubungan itu, ISMA menyeru umat Islam hadir ke Istana Kehakiman Putrajaya esok sebagai tanda sokongan, dan berdoa memohon pertolongan Allah untuk membuka hati hakim agar mengekalkan keputusan mahkamah rayuan.

Pada 14 Oktober 2013 Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat sara memutuskan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik itu untuk merujuk kepada 'Tuhan' dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah itu pada 2009.

Esok Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan kebenaran merayu oleh The Herald terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. The Herald telah memfailkan 26 soalan dalam permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Jika kebenaran tidak diberikan, ia akan menandakan berakhirnya untuk Herald kerana tiada ruang untuk merayu selepas Mahkamah Persekutuan.

[Baca berita penuh]