Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Tan Sri Abdul Rahim Noor untuk mengurangkan hukuman penjara dua bulan kerana menyebabkan kecederaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hukuman itu dan denda RM2,000 dijatuhkan oleh mahkamah sesyen pada 15 Mac tahun lalu. Mahkamah tinggi pada 15 Disember lalu pernah menolak permohonan rayuan berhubung hukuman penjara itu tetapi membenarkan hukuman denda itu digugurkan.

Ketika membacakan keputusan mahkamah rayuan pagi tadi, panel tiga orang hakim yang diketuai Datuk Shaik Daud Mohd Ismail berkata: "Sebagai pegawai tertinggi polis, pemohon rayuan sepatutnya menjadi contoh kepada pasukan itu. Pendek kata, tindakannya (Rahim) itu tidak berperikemanusiaan dan keji."

Mahkamah rayuan juga mengekalkan denda RM2,000 dan keputusan itu berkuat kuasa serta merta. Rahim, yang mendapat kritikan keras daripada penyokong Anwar dan parti-parti pembangkang, menjalani hukuman penjara mulai hari ini, sama ada di Kajang atau Sungai Buloh, tempat Anwar kini ditahan.

Selepas meninggalkan mahkamah, Rahim dibawa dengan kenderaan polis untuk pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN), kata seorang kakitangan institut itu.

Rahim sebelum ini pernah mengadu mengalami masalah jantung dan beliau dirawat sebagai pesakit luar, kata kakitangan itu lagi - yang tidak mahu dikenali - kepada agensi berita AFP .

Shaik Daud mempersoalkan kejadian mata lebam Anwar ketika kedua-dua tangan tahanan itu digari dalam kurungan polis.

Mempertahankan tindakan anak guamnya, peguam bela K Kumaraendran menjelaskan kejadian itu dilakukan "tanpa dirancang".

Hakim Shaik Daud membalas, tidak jelas perbuatan itu berlaku sama ada secara spontan atau disengajakan kerana tidak ada bukti bahawa Rahim diprovokasi semasa kejadian itu.

Kesan yang mendalam

Sementara Timbalan Pendakwaraya Salehudin Saleh berkata perbuatan itu membuktikan beliau mempunyai niat untuk melakukan kecederaan ke atas tahanan.

"Pemohon rayuan adalah seorang pegawai yang memberikan arahan. Beliau menyalahgunakan kedudukannya ke atas pengadu (Anwar). Pengadu tidak ada cara menahan dirinya (mempertahankan diri)," tambah pendakwa, sambil menyifatkan perbuatan itu kejam dan Rahim seharusnya mengawal emosi dan berhati-hati daripada melakukan perbuatan memalukan tersebut.

Bagaimanapun Kumaraendran memohon supaya keputusan itu dipertimbangkan memandangkan sumbangan anak guamnya begitu besar kepada negara.

"Seumur hidup, beliau (Rahim) akan menanggung hukuman itu dan beliau menerima tanggungjawab itu dengan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara," jelas peguam belanya lagi, sambil menambah Rahim sudahpun menerima hukuman yang berat apabila orang ramai memandang serong terhadap perbuatan itu.

Kumaraendran juga dibantu oleh peguam V Sithambaram.

Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa keputusan ini memberi kesan yang mendalam kepada setiap kakitangan awam agar berfikir sebelum melakukan apa-apa kesalahan.

"Ramai yang memberitahu mahkamah ini mereka mempunyai ibu dan bapa yang sudah tua, enam orang anak yang masih kecil. Mengapa mereka tidak terfikir tentang keluarga sebelum itu?" soal beliau lagi.

Kumaraendran sebelum itu turut membangkitkan faedah-faedah yang akan ditarik oleh kerajaan, seperti wang pencen, jika hukuman penjara dijalankan terhadap Rahim.

Hakim kemudian menolak hujah tersebut kerana ia melibatkan perkara sivil dan berkata, Rahim boleh membuat rayuan penarikan wang pencen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Panel hakim itu turut dianggotai oleh Datuk Mohd Saari Yusoff dan Datuk K C Vohrah.

Apabila ditanya sama ada rayuan akan dibuat ke Mahkamah Persekutuan, Kumaraendran memaklumkan kepada malaysiakini bahawa beliau tidak bercadang berbuat demikian kerana tidak ada peruntukan undang-undang bagi kes tersebut.