'Tender terbuka model ekonomi kangkung'
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua mendakwa model transformasi ekonomi dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menjadi model “ekonomi kangkung” ekoran manipulasi yang didakwa terus berlaku dalam sistem tender terbuka.
MP Petaling Jaya Utara itu berkata demikian dengan membangkitkan mengenai satu projek loji janakuasa Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang didakwa dianugerahkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
1MDB merupakan syarikat yang diilhamkan oleh Najib untuk memacu pelaburan jangka panjang. Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia ini dianugerahkan projek bernilai RM11 bilion tersebut oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Pua mendakwa, 1MDB tetap dianugerahkan projek tersebut baru-baru ini walaupun satu lagi firma, YTL Power menawarkan bidaan lebih murah dan bermutu.
Katanya, YTL Power menawarkan bidaan pada kadar 25.23 sen/kWj untuk membekal elektrik kepada TNB, berbanding kadar 25.65 sen/kWj yang ditawarkan oleh 1MDB.
"Lebih teruk lagi, jawatankuasa penilaian teknikal ST sndiri mengesyorkan YTL Power sebagai pembida yang diutamakan,” kata Pua yang memetik satu laporan akhbar kewangan The Edge.
“Oleh itu kerajaan tidak boleh mempersalahkan rakyat jika berpendapat bahawa ia adalah usaha terdesak untuk menyokong 1MDB, yang tertekan dengan kadar hutang melebihi RM30 bilion,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Pua, kerajaan sebelum ini mengambil tindakan sama dengan mengenugerahkan projek sambungan LRT Ampang kepada firm George Kent Bhd pada 2012, walau syarikat tersebut menawarkan bidaan lebih tinggi daripada yang disyorkan.

