Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai masalah pengambilan anggota baru berketurunan Cina di Sabah dan Sarawak.

    

Sebaliknya kata beliau, masalah itu hanya berlaku di Semenanjung dan membabitkan pengambilan anggota berpangkat rendah.

    

Kaum Cina di Semenanjung didapati kurang minat menyertai PDRM sebagai konstabel dan sekarang ini anggota polis berketurunan Cina hanya berjumlah kira-kira 1,000 orang atau 1.5 peratus daripada keseluruhan 115,000 anggota yang kita ada, katanya dalam sidang media, di Kuching hari ini.

    

Katanya dari segi pengambilan pegawai berpangkat inspektor ke atas, PDRM tidak mempunyai masalah penyertaan kaum Cina.

    

Mungkin mereka tidak tahu anggota PDRM menerima gaji yang lebih lumayan berbanding pasukan penguatkuasa lain, katanya.

Terdahulu semasa berucap merasmikan Balai Polis Tabuan Jaya, Mohd Bakri berkata PDRM komited dalam memastikan keselamatan serta keamanan masyarakat dan negara sentiasa terpelihara.

    

Tahap keselamatan dan ketenteraman merupakan petunjuk penting untuk memacu pembangunan negara kerana keadaan aman dan selamat menjadi agregat yang diguna pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini, katanya.

    

"Tumpuan diberi kepada usaha memperkasa integriti, kredibiliti dan profesionalisme pegawai dan anggota PDRM ke arah kepolisan berkelas dunia," katanya.

    

Pembinaan Balai Polis Tabuan Jaya bernilai RM12.6 juta itu bermula 17 Januari 2007 dan siap  sepenuhnya pada 18 November 2008.

    

Balai itu beroperasi sejak 3 Julai 2009 dengan kekuatan  38 anggota diketuai ketua balai berpangkat inspektor.

    

-Bernama