'Ambil alih konsesi air tak bermakna tarif tak naik...'
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengambilalihan konsesi air bukan bermakna tiada kenaikan tarif tetapi hanya meningkat tidak lebih 12 peratus dalam tempoh lebih tiga tahun.
"Saya rasa rakyat Selangor sudah lama menunggu perkara ini dan memang mereka mahu saya lakukan ini, (pengambilalihan syarikat konsesi air) bukan bermakna tidak ada kenaikan tarif air, tetapi tidak meningkat dengan tinggi, misalnya dalam tempoh lebih tiga tahun, kenaikan tarif air tidak lebih 12 peratus," kata beliau dilaporkan Berita Harian.
Khalid menjawab soalan Datuk Johan Jaafar sama ada rakyat Selangor faham apa yang dilakukannya dalam wawancara program Soal Jawab TV3 yang disiarkan Berita Harian, hari ini.
Bagaimanapun, semalam Khalid
menafikan
kenyataan Pengarah Strategi Rafizi Ramli bahawa penstrukturan semula aset air Selangor melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat menyebabkan pengguna menanggung kos lebih tinggi.
"Tidak," kata Khalid ringkas tanpa menjelaskan lebih terperinci mengenainya.
Bahkan Khalid berkata, Perjanjian Awal antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, menyatakan tiada kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kehadiran Khalid dalam rakaman rancangan itu di Sri Pentas bersama Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau Datuk Seri Maximus Ongkili dua hari lalu, mencetuskan ketegangan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat yang mengganggap TV3 dan kumpulan Media Prima sebagai media fitnah.
Menteri besar Selangor itu sebelum ini turut dipertikai kerana menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada minggu lalu dengan kerajaan persekutuan tanpa perbincangan dengan pimpinan Pakatan.
Semalam Pakatan Rakyat menggesa Khalid agar tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian awal dengan pusat selepas termaterainya memorandum persefahaman (MOU) sebelum ini.
Dalam wawancara itu juga, Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut memberi keyakinan bahawa MOU yang ditandatangani itu akan dihormati dan dijalankan pihak beliau.
"Kalau sekadar buat janji dan tinggal janji, bagaikan satu drama matilah kita. Perjanjian antara kerajaan negeri dan persekutuan tidak boleh ditukar, ia mesti ditunaikan bukan kira orang (menteri besar) tetapi sebaliknya negeri dan persekutuan," kata beliau.

