Malaysiakini dapat kunci bangunan baru
Portal berita bebas Malaysiakini menerima penyerahan bangunan pejabat barunya dalam satu majlis semalam.
Kunci untuk bangunan yang telah siap itu diserahkan oleh pemaju PJ51 Business Park kepada Pengurus Besar Malaysiakini , K Manohar.
Majlis itu dihadiri oleh beberapa warga Malaysiakini bersama-sama dengan beberea penyokong - antaranya, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua - yang datang untuk melihat bangunan tersebut.
"Ia adalah satu detik yang membanggakan Malaysiakini dan satu lagi peristiwa penting dalam perkembangan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini , Premesh Chandran.
"Jutaan terima kasih dirakamkan kepada semua pembaca kami yang telah menaja bata dan jubin untuk menyumbang kapada dana bangunan ini."
Setakat ini,
Malaysiakini
telah mengumpul RM1.4 juta daripada 859
penyumbang menerusi kempen 'Buy a Brick' yang dilancarkan tiga bulan lalu.
Sumbangan RM1,000 hingga RM50,000 diberi pengiktirafan dalam bentuk bata atau jubin yang diukir dengan nama penyumbangnya.
Bata atau jubin itu akan membentuk sebahagian daripada 'Wall of Appreciation' akan didirikan di bangunan baru itu. Penyumbang juga akan mendapat langganan dan pengiklanan sepadan dengan sumbangan mereka.
Malaysiakini membeli bangunan lewat tahun lepas dengan RM6.1 juta. Jumlah kos bangunan itu, termasuk pengubahsuaian, kelengkapan dan duti setem, dianggarkan RM7 juta.
Bangunan, yang dikenali sebagai @Kini, terletak di kawasan perindustrian Seksyen 51, Petaling Jaya, Lebuh Raya Persekutuan.
Ia akan menempatkan lebih 90 kakitangan Malaysiakini , KiniBiz dan KiniTV, serta studio siaran web, kemudahan latihan dan ruang awam untuk forum dan pameran.
Menurut Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan, Malaysiakini akan
berpindah ke ibu pejabat barunya pada pertengahan tahun ini.
"Pengubahsuaian akan bermula tidak lama lagi dan ia akan mengambil masa dua atau tiga bulan. Mudah-mudahan, kita akan beroperasi dari rumah baru kami itu menjelang bulan Jun."
Turut sama Pengurus projek Lynn D' Cruz, yang bertanggungjawab menjayakan kempen 'Buy a Brick'.
"Tidak semua orang bernasib baik dalam erti kata mereka merasa seperti bekerja dengan satu keluarga. Itulah yang ada di Malaysiakini. Kami menghargai ikatan keluarga yang rapat," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen 'Buy a Brick' klik di sini . Malaysiakini merancang untuk menjual 1,000 bata. Kini masih ada kira-kira 200 lagi.

