'Pakatan sokong struktur semula air S'gor tapi...'
Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong pada dasarnya usaha Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menstruktur semula industri air di negeri itu.
Bagaimanapun, Pakatan juga mahu kerajaan negeri terus mendapatkan maklum balas daripada satu jawatankuasa khas Pakatan Rakyat yang diwakili Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad berhubung usaha itu.
"Mereka akan bertanggungjawab bekerjasama dengan Kerajaan Selangor di dalam pelaksanaan penstrukturan industri air ini termasuklah menyemak dan memberi maklumbalas kepada perjanjian-perjanjian yang bakal ditandatangani oleh Kerajaan Selangor di dalam isu ini.
"Satu persetujuan juga telah dicapai untuk melibatkan Tn Tommy Thomas, pakar perundangan, di dalam proses ini sebagai wakil bebas yang mewakili rakyat Selangor bagi memastikan perjanjian yang kukuh di sisi undang-undang menjaga kepentingan rakyat Selangor," kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Anwar berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat semalam selepas Khalid memberikan penjelasan kepada pimpinan tertinggi Pakatan termasuk beliau, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
"Pimpinan Pakatan Rakyat menunjukkan keprihatinan yang tinggi serta memberikan nasihat dan pandangan bagi memastikan proses penstrukturan air ini memberikan pulangan dan natijah yang terbaik kepada Kerajaan Negeri Selangor serta rakyat Selangor.

