Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Fasa pertama pembinaan Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan akan siap hujung tahun ini, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    

Beliau berkata pembangunan fasa pertama yang melibatkan kos RM20 juta itu merangkumi satu bangunan yang boleh menempatkan 160 pelajar Tingkatan Satu.

    

"Sebaik sahaja fasa pertama siap, pembangunan fasa kedua akan dilaksanakan di mana kita memerlukan peruntukan kira-kira RM30 juta," katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan sementara Sekolah Menengah Chong Hwa di Jalan Gambang di Kuantan hari ini.

    

Menurutnya MCA dan lembaga sekolah giat menjalankan pelbagai program bagi mengutip dana bagi pembinaan fasa kedua itu.

    

"MCA melancarkan pelbagai kempen bagi mengisi tabung derma kepada sekolah ini dan kita harap berjaya mengutip sehingga RM1 juta bagi membantu pihak lembaga sekolah mencapai dana RM30 juta untuk fasa kedua nanti," katanya.

Liow juga berharap lebih banyak pihak swasta dan orang ramai tampil menyumbang kepada pembinaan keseluruhan sekolah itu yang dapat menjimatkan wang kerana anak-anak belajar berdekatan dengan keluarga.

Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan yang diluluskan sebagai institusi pendidikan swasta pada 26 Julai 2012 itu, merupakan sekolah menengah persendirian Cina pertama di Pahang dan menjalankan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

    

Sekolah berkenaan dibina di tapak seluas 6.07 hektar di Inderapura, kira-kira enam kilometer dari bandar Kuantan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS