MH370: M'sia hargai bantuan negara luar
Kerajaan Malaysia menyambut baik kerjasama lima negara luar yang mengerahkan aset masing-masing untuk memberi sokongan dan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak awal pagi semalam.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ( bawah ) berkata Malaysia juga menghargai bantuan yang ditawarkan Vietnam, China, Amerika Syarikat, Singapura dan Filipina dalam usaha itu.
Katanya beliau telah berhubung dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Vietnam dan Filipina, dalam kerangka Asean, bagi memohon membantu Malaysia dalam operasi itu.
Kerajaan Malaysia turut menyambut baik bantuan dan kerjasama serupa daripada negara-negara lain dan badan antarabangsa dalam operasi mencari dan menyelamat, katanya dalam kenyataan di sini, awal pagi ini.
"Kerajaan Malaysia berkongsi kesedihan dan kebimbangan sanak saudara terdekat dan ahli keluarga penumpang pesawat MH370. Segala ingatan dan doa adalah bersama mereka terutamanya kepada semua penumpang dan anak kapal.
"Kerajaan Malaysia bersama-sama seluruh rakyat Malaysia berasa sedih dan melahirkan kebimbangan berhubung tragedi yang menimpa para penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada 8 Mac 2014 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing," katanya.
Sehubungan itu, Anifah berkata kerajaan menggembleng semua sumber sedia ada bagi tujuan mencari dan menyelamat pesawat itu yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal.
"Sebuah Pusat Koordinasi Kebangsaan ditubuhkan dengan serta-merta di Pusat Kawalan Bencana Kebangsaan (NDCC), Pulau Meranti, Cyberjaya bagi memantau perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa," katanya.
Anifah berkata Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada para Perwakilan Asing di Malaysia yang rakyatnya antara penumpang pesawat MH370 itu.
Kementerian Luar Negeri telah menubuhkan sebuah bilik operasi di Putrajaya, yang boleh dihubungi di talian 03 - 88874570 dan melalui emel di dutyofficer@kln.gov.my.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas pesawat itu dilaporkan hilang oleh pengawal trafik udara pada 2.40 pagi semalam.
Pesawat B777-200 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 12.41 dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi semalam.
- Bernama

