Warga MITI solat hajat, P'jaya tawar bas
Perbadanan Putrajaya (PPj) bersedia untuk menyediakan kemudahan bas dan van Nadi Putra bagi membantu dari segi pengangkutan kepada pihak yang terlibat dengan kehilangan pesawat Malaysia
Airlines (MAS) MH370.
Presidennya Tan Sri Aseh Che Mat berkata, beliau memutuskan perkara itu setelah berlaku kesukaran pergerakan kepada pihak berkaitan termasuk anggota keluarga penumpang pesawat terbabit.
"Bas dan van yang disediakan boleh digunakan oleh pihak hotel dan sebarang hal yang berkaitan dengan keluarga penumpang, misalnya untuk dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan ke sini (Hotel Everly)," beliau dipetik sebagai berkata kepada media di Putrajaya hari ini.
Jelasnya, PPj mempunyai 178 buah bas dan boleh menyalurkan lebih 40 buah daripadanya untuk tujuan itu, lapor Bernama.
Baru ditugaskan ke Beijing
Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan, warga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini mengadakan solat hajat agar pencarian MH370 dipermudahkan.
Ketua korporat komunikasinya Muhammad Sabri Salleh berkata ia akan diadakan sebelum solat Zuhur dan akan disertai menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed serta tujuh anggota keluarga pegawai MITI Mohd Sofuan Ibrahim.
Mohd Sofuan, 33, antara penumpang pesawat terbabit.
Beliau menyertai MITI pada Januari 2011, baharu sahaja ditugaskan ke Beijing, China bagi tempoh enam bulan dan menyandang jawatan setiausaha kedua di pejabat MITI cawangan Beijing.

