Kilang Lynas di M'sia punca harga saham jatuh
Saham pelombong nadir bumi, Lynas, jatuh selepas mencatatkan peningkatan kerugian dalam keputusan setengah tahunnya.
The Australian Associated Press melaporkan syarikat itu mengumumkan kerugian bersih sebanyak A$59.3 juta dalam tempoh enam bulan akhir 2013, meningkat daripada kerugian A$56.6 juta semasa tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan interimnya meningkat kepada A$14.6 juta daripada sifar dalam tempoh sebelumnya dan perbelanjaan kewangan bersih naik sebanyak 31 peratus kepada A$7.5 juta.
Lynas dalam satu kenyataan berkata kos tinggi itu dikaitkan dengan kilang penapis bahan galian nadir buminya di Malaysia, Lynas Advanced Materials Plant dekat Kuantan, Pahang, yang menjadi penyumbang besar kepada penurunan pendapatan syarikat.
Lynas merancang memulakan pengeluaran kilangnya di Malaysia pada 2011 apabila harga nadir bumi sedang melonjak tinggi tetapi bantahan keras daripada penduduk tempatan dan perbicaraan di mahkamah telah menyebabkan kelewatan yang agak lama.
Kos berkaitan dengan penaikan taraf kilang itu pada Januari telah mempengaruhi keputusan syarikat dengan penyusutan bukan tunai dan caj pelunasan pada tempoh setengah tahun itu meningkat sebanyak A$8.5 juta, kata Lynas.
Syarikat itu berkata ia perlu mengumpulkan lebih banyak wang tunai sama ada menerusi terbitan ekuiti atau lebih banyak hutang atau penyusunan semula kemudahan hutangnya pada tahun depan.
Para pelabur memberi reaksi negatif kepada berita itu.
Pada 13.20 saham Lynas (AEDT) turun 11.86 peratus kepada 26 sen.
Bahan galian nadir bumi digunakan dalam produk berteknologi tinggi termasuk teleskop, mesin X-ray dan peranti pengimbasan MRI.
- Bernama

