Zamihan: Bukan isyarat lucah pun pada Kassim
Presiden Pertubuhan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zain antara pihak yang paling lantang mengkritik pemikiran kontroversi Kassim Ahmad dalam hal ehwal agama, dengan mengatakan sarjana itu boleh terkeluar daripada Islam.
Bagaimanapun, selepas dialog satu jam setengah di rumah Kassim di Kulim, Kedah, beliau pula menjadi sasaran kritikan, khususnya di Internet apabila bergambar dengan cara yang dipertikaikan bersama Kassim.
Sekeping gambar yang dimuat naik ke Internet memaparkan Zamihan ( kiri ), yang juga pegawai agama Kementerian Dalam Negeri (KDN), berdiri di belakang Kassim dengan menunjukkan isyarat tangan ibu jari ke bawah, tanda tidak bagus.
Gambar itu mengundang kritikan ramai, khususnya pengguna maya yang merasakan langkah itu tidak patut dibuat dan tidak selari dengan akhlak Islam.
Zamihan bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini semalam berkata, beliau tidak kisah perkara yang “sekecil itu” dibangkitkan kerana beliau sudah melaksanakan tanggungjawabnya.
"Saya tidak ambil perhatian benda kecil sebegitu, yang penting saya sudah ambil tindakan mendekati Kassim Ahmad dan cuba memperbetulkan fahaman beliau.
"Lagipun gambar itu bukan gambar isyarat lucah pun," katanya sambil menjelaskan, isyarat itu dibuat tanda dialog tidak berhasil mencapai kata sepakat dan tidak dengan niat lain.
"Isyarat itu menandakan dialog antara saya dan Kassim Ahmad petang itu 'tidak bagus'. Pak Kassim masih berkeras dengan pemikirannya hasil kajian beliau selama 36 tahun itu.”
Dialog Zamihan-Kassim dibuat kira-kira 5.45 petang pada 6 Mac lalu. Zamihan hadir bersama lapan anggota ASWAJA manakala Kassim hanya seorang diri.
Kassim yang dilabel banyak pihak sebagai 'antihadis' sebelum ini mengundang kontroversi sekali lagi selepas mengkritik ulama sebagai 'kasta paderi', 'pendewaan' terhadap Nabi Muhammad dan mengatakan rambut bukan aurat wanita.

