Bomoh Ibrahim Mat Zin terus menjadi sasaran kritikan ekoran ritual pencarian pesawat MH370 di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum ini, yang dikatakan berunsur khurafat.

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jammaah (ASWAJA) hari ini menggesa pihak berkuasa agama bertindak tegas terhadap Ibrahim kerana melakukan perbuatan “syirik”, sekali gus menjejaskan imej negara.

Menurut presiden NGO itu Zamihan Mat Zin ( kanan ), tindakan “Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP”  itu sebenarnya cuba meraih publisiti murahan.

"Pihak berkuasa agama perlu mengambil tindakan terhadap bomoh-bomoh terbabit serta pihak pengurusan KLIA perlu bertegas menghalang sebarang perbuatan khurafat di KLIA ketika keluarga mangsa sedang bersedih menanti perkhabaran tentang nasib ahli keluarga mereka dalam pesawat malang itu,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, KLIA gempar dengan kehadiran Ibrahim yang melakukan ritual seperti menaiki tikar terbang dan menggunakan teropong buluh untuk mengesan pesawat MAS yang hilang itu.

Langkah sama sebelum ini dikritik keras bekas mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).