Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyelamat siasat objek terapung, kesan asap
Diterbitkan:  Mar 13, 2014 12:11 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Malaysia dan Vietnam menghantar pesawat untuk menyiasat objek dan kesan asap yang dikesan di Laut China Selatan oleh satelit China.

Laporan Reuters menyebut, pasukan Vietnam telahpun meninjau kawasan yang ditunjukkan dalam imej satelit tersebut, tetapi akan tetap menghantar pesawatnya untuk menyiasat sekali lagi.

Timbalan menteri pengangkutannya Pham Quy Tieu dilaporkan sebagai berkata, mereka menyiasat kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Pemangku menteri pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengesahkan operasi tersebut, dalam tulisannya di Twitter.

Pasukan berkenaan akan mengesan sama ada tiga objek tersebut berkaitan dengan penerbangan MH370.

Jurucakap kerajaan China bagaimanapun menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sekiranya imej dari satelit mereka itu benar-benar berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang.

“Satelit China menemui asap dan objek terapung... Buat masa ini kami tidak dapat mengesahkan sekiranya ini berkaitan dengan pesawat yang hilang,” kata ketua jabatan itu Li Jianxiang seperti dilaporkan agensi Reuters.

Laporan itu juga menyebut, tiada bukti yang menunjukkan tentera Malaysia menyembunyikan maklumat mengenai pesawat yang hilang itu.

China sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa salah satu satelitnya mengesan tiga “objek terapung” di kawasan laut yang disyaki sebagai kawasan kemalangan pesawat Malaysia Airlines tersebut.

Objek yang disyaki itu, menurut kenyataan pentadbiran China, dikesan pada kedudukan 105.63 darjah timur dan 6.7 darjah utara.

Lokasi itu terletak hampir dengan laluan pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Agensi berita menyebut, saiz dimensi objek terbabit dianggarkan berukuran 13 kali 18 meter, 14 kali 19 meter dan 24 kali 22 meter.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pasukan Malaysia telahpun menyiasat kawasan berkenaan sebelum ini.

"Tiada apa-apa. Kami sudah ke sana, tiada apa-apa ditemui," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut laporan ABC News, pasukan Vietnam sebelum ini turut menyiasat dakwaan bahawa satu objek terbakar pada pagi Selasa berhampiran satu pelantar minyak di perairan timur negara itu.

Menurut laporan itu, pencarian di kawasan berkenaan tidak membuahkan sebarang hasil.

[Berita penuh menyusul]

ADS