Polis buka kertas siasatan ceramah tanpa permit
Polis membuka dua kertas siasatan berhubung ceramah tanpa permit sehingga semalam, selepas dua hari tempoh kempen pilihan raya kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Kajang bermula pada Selasa.
Jurucakap Polis Diraja Malaysia bagi PRK DUN Kajang ACP Azisman Alias berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Setelah dua hari berkempen terdapat 29 aktiviti ceramah, lima aktiviti pada hari pertama (Selasa) dan selebihnya pada hari kedua (semalam).
"Setakat ini tiada insiden tidak diingini atau kekecohan dilaporkan. Semua berjalan dalam keadaan aman dan damai," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Polis PRK DUN Kajang di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan parti bertanding supaya memohon permit daripada pihak polis sekurang-kurangnya 24 jam lebih awal sebelum mengadakan ceramah.
Mengenai poster calon yang dilapor disimbah cat merah, Azisman berkata tiada laporan polis dibuat sehingga kini.
Semalam, calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun membidas tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja merosakkan poster kempen BN dan PKR di sekitar kawasan DUN Kajang yang disifatnya melambangkan amalan politik tidak sihat.
- Bernama

