Polis Terengganu menyarankan pihak berkaitan supaya menyediakan skrin besar di luar stadium ketika perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuala Terengganu Sabtu ini.

    

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin berkata langkah itu bagi mengelakkan limpahan penonton dalam Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.

    

Beliau berkata pihaknya akan memantau penjualan tiket perlawanan sebanyak 10,000 keping selaras dengan kapasiti stadium berkenaan.

    

"Kita akan pantau penjualan tiket ini kerana jualan tiket yang melebihi kapisiti stadium boleh mengundang kesesakan serta kurang keselesaan kepada penyokong," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Selain itu, katanya, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk stadium berkenaan bagi mengelakkan penonton membawa masuk barangan larangan seperti mercun, suar dan senjata tajam.

- Bernama