10,000 laporan kebakaran dalam sebulan
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima kira-kira 10,000 laporan berkaitan kebakaran dalam tempoh sebulan di seluruh negara berikutan cuaca panas dan kering ketika ini, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Beliau berkata pusat panggilan kecemasan bomba di seluruh negara kadang-kadang menerima sehingga 500 panggilan sehari bersabit pelbagai jenis kebakaran.
“Jumlah panggilan menunjukkan peningkatan tinggi berbanding biasa dan kebakaran membabitkan kebakaran hutan, belukar dan lalang iaitu antara yang mencatat kes kebakaran paling tinggi,” katanya selepas majlis penyampaian pingat kebesaran dan anugerah perkhidmatan cemerlang jabatan itu di Labuan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.
Sementara itu Wan Mohd Nor berkata JBPM dalam proses mengagihkan 100 jentera di negeri-negeri.
- Bernama

