AirAsia batal penerbangan KL-Pekanbaru
AirAsia mengumumkan pembatalan penerbangan ke/dari Pekanbaru, Indonesia, hari ini dan esok ekoran penglihatan terhad disebabkan jerebu tebal di kawasan tersebut.
"Kehadiran jerebu tebal telah mengurangkan penglihatan juruterbang kurang dari 1,000 meter, yang merupakan jarak penglihatan tahap minimum, bagi memastikan operasi selamat," kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataannya.
Pembatalan bagi penerbangan AirAsia ke dan dari Pekanbaru termasuk:
* Kuala Lumpur ke Pekanbaru
* Pekanbaru ke Kuala Lumpur
* Pekanbaru ke Bandung
* Bandung ke Pekanbaru
* Pekanbaru ke Medan
* Medan ke Pekanbaru
AirAsia turut berkata kesemua penerbangan yang terlibat dijangka beroperasi semula pada hari Ahad, 16 Mac, bergantung pada tahap peningkatan jarak penglihatan.
Penerbangan itu menawarkan dua pilihan pemulihan perkhidmatan untuk penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu.
Para penumpang boleh memilih untuk menukar penerbangan dalam lingkungan tujuh hari daripada jadual asal tanpa caj tambahan; atau deposit dalam bentuk kredit 'shell' bersamaan nilai tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan Air Asia.
Kredit 'shell' itu sah untuk tempoh 90 hari dari tarikh dikeluarkan.
"Setiap penumpang yang terlibat akan dimaklumkan melalui e-mel yang didaftarkan dengan AirAsia, begitu juga dengan pemberitahuan SMS.
"AirAsia menggesa penumpang supaya mengemas kini alamat e-mel dan nombor telefon serta kod negara dalam profil anggota AirAsia bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menghubungi mereka," kata AirAsia.
- Bernama

