Kebakaran: JAS S'gor buka 12 kertas siasatan
Walaupun keadaan jerebu di beberapa bahagian di Selangor telahpun pulih lebih 12 jam lepas, namun beberapa penduduk di Klang masih risau mengenai kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun di Klang.
Kebakaran tanah gambut itu telah menyumbang kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang lebih tinggi di Lembah Klang.
Tinjauan Bernama mendapati penduduk Bandar Puteri yang tinggal berhampiran dengan Kampung Johan Setia, adalah yang paling terjejas berikutan asap tebal.
Menurut seorang penduduk di Bandar Puteri, Lynda Leong, 26, keadaan jerebu di Klang telah meningkat daripada tidak baik kepada teruk sejak beberapa hari lepas.
"Keadaan jerebu telah menjejaskan rutin harian saya dan saya tidak dapat melakukan sebarang aktiviti luar," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, R. Prashaandra, 27, dari Bandar Puteri pula berkata beliausukar untuk tidur pada sebelah malam dan mendakwa keadaan berjerebu telah menjejaskan kesihatanya.
"Mata saya gatal dan berair. Keadaan jerebu telah menyebabkan masalah sinus saya semakin teruk," katanya.
Bagaimanapun penduduk dari Jalan Tengku Kelana, Maheswary Ramasamy berkata keadaan jerebu di kawasanya telah pulih berikutan hujan renyai-renyai turun semalam.
Sementara itu, Exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong berkata Jabatan Alam Sekitar Selangor telah membuka 12 kertas siasatan dalam skala yang lebih luas sebagai langkah untuk mendakwa mereka yang melakukan kesalahan.
Beliau berkata keadaan di Selangor kini terkawal meskipun kebakaran berlaku di kawasan tinggi yang sukar didekati.
"Kualiti udara telah pulih secara mendadak sejak 12 jam lalu. Kami akan terus memantau keadaan," katanya.
Pelabuhan Klang mencatat penurunan dalam bacaan IPU iaitu 136 setakat 2 petang Sabtu.
Beberapa kawasan lain turut mencatat penurunan dalam bacaan IPU, termasuk Banting, Selangor (115), Kuala Selangor (83), Shah Alam 95 dan Petaling Jaya 92.
- Bernama

