PKR pertaruh Jalil Bujang di Balingian
PKR Sarawak hari ini menamakan setiausaha cabang Bintulu parti itu Abdul Jalil Bujang bagi mencabar calon BN Yussibnosh Balo dalam pilihan raya kecil Balingian pada 29 Mac ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ( kanan ) di Sibu.
Abdul Jalil, yang kedua ibu bapanya berasal daripada Mukah, bekas eksekutif Petronas.
Beliau sekarang bekerja sebagai ahli perniagaan di Bintulu. Yussibnosh pula bekas pegawai daerah di Dalat.
Tarikh penamaan calon akan berlangsung esok.
Pilihan raya ini diadakan ekoran peletakan jawatan Tan Sri Taib Mahmud sebagai ketua menteri dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian pada 28 Februari. [Baca berita penuh]
Azmin: Pembangkang makin kuat
Sementara itu, Bernama melaporkan Azmin sebagai berkata, pemilihan Abdul Jalil, 55, yang pernah bertanding pada pilihan raya DUN Sarawak ke-10 di DUN Jepak diputuskan selepas mengambil kira semua pandangan termasuk pengalamannya.
“Beliau berasal dari Bintulu tetapi mempunyai hubungan keluarga cukup kuat iaitu nenek beliau berasal dari Kampung Lintang Balingian dan sering berulang-alik antara Bintulu dan Balingian untuk menziarahi ahli keluarga,” beliau dipetik sebagai berkata,
Beliau yakin pengundi Balingian sudah cukup matang untuk menilai latar belakang dan prestasi calon dalam membela nasib rakyat dan membawa suara rakyat dalam DUN Sarawak.
Azmin berkata biarpun calon PKR tewas kepada BN dalam pilihan raya negeri lepas, suara pembangkang sudah semakin kuat untuk memberikan cabaran dalam pilihan raya kecil ini.

