Tak kerana pelajaran, Buweh penanam sago
Kalaulah tidak kerana azamanya untuk maju dalam bidang akademik, berserta tekad untuk menambah baik nasib keluarga, mungkin Yussibnosh Balo tidak merasai apa yang dinikmatinya sekarang.
Dilahirkan dalam keluarga miskin yang bergantung hidup pada tanaman sago sebagai punca rezeki, anak sulung daripada lima beradik itu membesar dalam keadaan serba kekurangan.
Ketika usianya meningkat remaja, Yussibnosh lebih banyak memberi tumpuan terhadap pelajaran kerana ingin menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya.
Usaha ini membuahkan hasil.
Hari ini, 'Buweh', panggilan mesra bagi Yussibnosh oleh penduduk kampungnya, menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Balingian pada 29 Mac.
Pemilihan ini bermakna beliau dianggap orang yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat bagi penduduk Balingian.
"Pada saya, pelajaran sangat penting. Kalaulah saya tidak ada pelajaran, saya akan terus 'tubang balau' (menebang pokok sago untuk mencari rezeki) hingga sekarang.
"Sama ada anda miskin atau berasal daripada keluarga kaya, pelajaran tetap penting. Sebab inilah saya ingin memberi tumpuan terhadap pelajaran dan pembangunan keluarga (sekiranya dipilih menjadi anggota dewan undangan negeri)," kata Yussibnosh ketika ditemui di Kampung Tellian, sebuah kampung tradisional Melanau tempat kelahirannya.
Memiliki ijazah dalam bidang pentadbiran awam daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Yussibnosh, 48, berkata oleh kerana menyedari masalah kewangan yang dihadapi keluarganya, beliau keberatan untuk belajar di luar negara.
Beliau melepaskan peluang itu walaupun muncul sebagai pelajar Tingkatan Lima terbaik di sekolahnya apabila memperoleh Gred Satu dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE).
"Pada masa itu, guru memberitahu saya supaya memohon melanjutkan pelajaran di luar negara, tapi kata saya keluarga saya tak ada wang. Bapa saya tak mampu," kata Yussibnosh ketika mengimbau kembali kehidupannya pada masa lampau.
Bagaimanapun, beliau melanjutkan pelajaran Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kerajaan Binatang, kini dikenali sebagai SMK Bintangor, sebelum mengikuti pengajian di UUM dan memperoleh ijazah pada 1991.
Kerjayanya dalam perkhidmatan awam bermula pada 1993 sebagai pegawai tadbir di Pejabat Daerah Simunjan di selatan Sarawak dan selepas itu dipindah bertugas di dua daerah lain sebelum akhirnya menjadi Pegawai Daerah Dalat pada 2008.
Beliau melepaskan jawatan itu Khamis lepas apabila dipilih menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil Balingian, yang diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb.
"Saya rasa saya tak dapat mengatasi beliau (kemampuan Abdul Taib). Saya akan terus lakukan dengan cara saya dan berpandukan pengalaman saya. Anda memerlukan bantuan orang lain untuk menghadapi cabaran dan terus maju," katanya.
- Bernama

