Tahap ketampakan kurang dari lima kilometer di sekitar perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor Barat disebabkan jerebu, dijangka berterusan sehingga Selasa, 18 Mac.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia keadaan ini adalah berbahaya kepada kapal yang tidak dilengkapi navigasi pelayaran.

Pada masa sama, angin kencang Timur Laut dan laut bergelora yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak (Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan serta Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat) juga dijangka berterusan sehingga Selasa.

Keadaan angin dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak melebihi 3.5 meter itu berbahaya kepada semua bot kecil, rekreasi laut dan aktiviti sukan laut.

Selain itu, ribut petir yang berlaku di perairan Perak, Johor, Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pedalaman dan Pantai Barat) dijangka berterusan sehingga awal malam ini.

Keadaan itu yang menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan ombak melebihi 3.5 meter berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

- Bernama