Kumpulan tabib China bertafakur untuk MH370
Kira-kira 60 tabib dari China bertafakur selama seminit sambil mendoakan keselamatan penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 yang hilang, sebelum menyertai kem perubatan untuk memberi rawatan kepada pesakit.
Kumpulan tabib itu adalah anggota China Association of Chinese Medicines (CACM) yang berada di Johor Baharu untuk menghadiri Simposium Perubatan Cina Persahabatan Malaysia-China selama tiga hari, yang berakhir hari ini.
Diketuai ketua bahagian antarabangsanya Sun Yong-Zhang, kumpulan itu disertai kira-kira 50 tabib Cina dari Malaysia untuk menjayakan kem tersebut.
Kem berkenan yang dianjurkan bersama oleh Malaysia Free Medical Troupe dan Persatuan Tabib-tabib Cina Malaysia (CPAM), adalah antara acara yang diadakan bersempena simposium itu.
Sementara itu, Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Samad, yang mengetuai kumpulan tersebut dalam melakukan upacara tafakur, berkata Malaysia dan China sedih dengan kejadian yang berlaku terhadap penerbangan MH370.
Beliau juga menyanjung tinggi hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama antara Kuala Lumpur dan Beijing serta menyatakan penghargaannya atas keikhlasan kumpulan tabib berkenaan mencari ruang daripada simposium itu untuk menghulurkan bakti yang amat berharga.
Shahrir berkata perkhidmatan penjagaan kesihatan merupakan satu daripada komponen utama di wilayah ekonomi Iskandar Malaysia.
"Kita lebih mengutamakan perubatan moden daripada perubatan tradisional. Saya harap perubatan tradisional seperti perubatan Cina akan terus berkembang dan diberi perhatian," katanya kepada pemberita.
Turut hadir penasihat akademik CACM Li Jing, presiden CPAM Cheah Kok Kay danm pengerusi jawatankuasa penganjur Prof Soo Cheng Ren.
- Bernama

