Pemuda PAS kecam konsert dicemari dadah
Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung penganjuran sebuah konsert di Bukit Jalil pada 13-15 Mac yang dilapor dicemari kematian akibat penggunaan dadah.
"Kita kesal dengan Kementerian Dalam Negeri yang gagal mengawal aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang,” kata ketuanya Suhaizan Kaiat.
Bernama melaporkan, enam maut dan 14 individu dirawat di hospital dipercayai akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Polis dilapor menahan 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan.
Suhaizan menyerahkan memorandum tersebut kepada menteri berkaitan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada jam 11.00 pagi ini, di lobi Parlimen, di ibu kota.
Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata, penganjuran konsert itu juga tidak sesuai, terutamanya ketika negara sedang dibebani masalah berat kehilangan pesawat MH370.
"Di saat rakyat merasa sedih ekoran pelbagai musibah dan ujian berat yang ditanggung di negara ini termasuk kehilangan pesawat MH370, segelintir rakyat pula sanggup berfoya-foya dengan aktiviti kurang berfaedah,” katanya.
Dewan itu juga menyelar dakwaan kegagalan pemantauan pihak polis dan badan agama seperti abatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mereka juga mendesak tindakan diambil terhadap penganjur acara itu.

