MB Perlis arah sekat biasiswa Baitulmal
Arahan agar menyekat biasiswa pelajar luar negara tajaan Baitulmal Perlis datangnya daripada Menteri Besar sendiri. Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab meluluskan peruntukan dana pendidikan didakwa berbuat demikian sebagai memenuhi desakan ahli-ahli Umno.
Tinjauan malaysiakini hari ini mendedahkan Baitulmal berbuat demikian selepas menerima arahan 'pihak atasan.' Ditanya tentang agensi yang terbabit, Pengerusi Baitulmal, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata badan itu hanya menjalankan tugasnya di bidang kuasa Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).
Seorang pegawai kanan di majlis itu mengesahkan bahawa Shahidan terbabit dalam arahan sedemikian.
Akhbar The Sun hari ini melaporkan bantuan kewangan kepada pelajar antikerajaan di Asia Barat akan ditarik dan mereka kini sedang mengawai kegiatan pelajar terbabit melalui kedutaan Malaysia. Bagaimanapun, laporan yang memetik Abu Bakar itu menyebutkan "setakat ini kegiatan mereka masih terkawal" walaupun dipercayai berjaya dipengaruhi pembangkang.
Pegawai kanan MAIPs yang tidak mahu dikenali itu menegaskan "tidak ada syarat khusus agar meluluskan permohonan hanya kepada penyokong kerajaan."
Tetapi tindakan Menteri Besar berkenaan dipercayai memenuhi desakan perwakilan-perwakilan Umno dalam mesyuarat agung pada pertengahan Mei lalu.
Abu Bakar berkata sekiranya para pelajar melanggar syarat tersebut - masih menjalankan kegiatan 'antikerajaan ketika belajar - mereka "terpaksa mencari sumber kewangan lain."
"Nasihat akan diberikan kepada pelajar yang terlibat, tidak kiralah sama ada mereka menyokong parti kerajaan atau pembangkang," jelasnya.
Apabila ditanya berhubung kedudukan biasiswa 53 pelajar Mesir yang masih tidak menerima bantuan badan itu, Abu Bakar berkata, pihaknya tidak bertujuan melengah-lengahkan permohonan tersebut.
"Pihak kami masih menunggu laporan daripada Jabatan Penuntut Malaysia di luar negeri," ujar beliau berhubung penilaian akademik dan sikap politik pelajar itu.
Baitulmal yang mengurus wang zakat memperuntukkan sebanyak RM68,600 kepada 49 pelajar di Mesir. Sementara itu 53 pelajar masih menunggu permohonan mereka diluluskan. Setiap penuntut menerima tajaan sebanyak RM1,400.
Sebelum ini para pelajar menerima bantuan sebanyak RM2,500 seorang. Bagaimanapun memandangkan kegawatan ekonomi, peruntukan tersebut dikurangkan, jelas Abu Bakar lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.