PKR membantah penyebaran gambar palsu calon BN yang digambarkan berbikini di laman-laman sosial.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiee berkata kegiatan menampal muka Datin Paduka Chew Mei Fun itu sebagai "jelek dan tidak bermoral."

"Kami menyarankan pihak Chew dan MCA membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami melihat kegiatan tersebut sebagai jelek dan tidak bermoral dan satu penghinaan kepada wanita. Meskipun beliau lawan kami...

"Kami tak mahu mana-mana pihak sekalipun menggunakan kesempatan untuk memfitnah yang mengaibkan," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Kelmarin Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie dalam sidang media mendakwa perbuatan itu dilakukan penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau berkata gambar palsu itu menghina maruah wanita dan mendesak SKMM menyiasat perkara terbabit

Shuhaimi berkata PKR sentiasa mempertahankan maruah 'mangsa fitnah' sebelum ini kerana pemimpin dan ahli parti telah lama menjadi mangsa fitnah sejak 1998.

ADUN Sri Muda itu berkata PKR turut membuat laporan polis minggu lalu ekoran penyebaran risalah dan komik memfitnah Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami menggesa pihak-pihak yang melakukan baik secara persendirian mahupun berkumpulan menghentikan kegiatan tidak bermoral ini serta-merta," kata Shuhaimi.