Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan melihat semula permit untuk konsert 'Life in Color Malaysia' susulan kematian enam anak muda dalam sebuah konsert lain minggu lepas.

"Berlakunya beberapa kes kematian di Future Music Mestival Asia baru-baru ini maka kita wajar mengkaji semula permit yang diluluskan untuk konsert Live in Color akan datang.

"Ini sebab kita tidak mahu berulangnya kes-kes kematian yang berpunca dari penyalah gunaan dadah, narkotik dan saya difahamkan konsert ini mempunyai genre sama dengan FMFA iaitu 'trance'," kata beliau ketika ditemui di Taman Setia, Sungai Chua, Kajang malam tadi.

Life in Color Malaysia bakal berlangsung 19 April depan di Litar Go-Kart, Litar Anatarabangsa Sepang anjuran Furture Sound Asia dan Zouk serta disokong oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Pada Jumaat lalu, enam individu meninggal dunia manakala 14 lain dirawat di hospital akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat dan Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Khairy berkata beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan menteri berkaitan sebelum mengambil tindakan susulan termasuk kemungkinan membatalkan permit konsert tersebut.

"Saya akan bawa perkara ini dan berbincang dengan rakan-rakan kabinet yang berkenaan untuk buat keputusan," kata beliau.