KJ: Baru sekarang nak bina infra sukan di Kajang
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Kajang akan dijadikan DUN angkat oleh kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan yang diketuainya ketika ini.
Khairy berkata kerajaan pusat dan kementerian beliau mempunyai kepakaran dan lebih pengetahuan dalam membantu pembinaan prasarana dan infrastruktur berkaitan sukan.
Beliau yang juga ketua Pemuda Umno turut mempersoalkan salah satu manifesto PKR untuk Kajang bahawa infrastruktur sukan untuk anak muda akan dibina sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu.
"Mereka (PKR) menang pada 2008 dan 2013 tapi baru sekarang mereka nak buat infrastruktur dan pembangunan untuk anak muda," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum perlawanan bola keranjang persahabatan antara pasukan 'pilihan Kajang' beliau menentang pasukan wanita kebangsaan malam tadi.
Perlawanan persahabatan berlangsung hampir sejam itu berakhir dengan kekalahan Khairy dan pasukan pilihan Kajang 53-59 di tangan pasukan kebangsaan.
Walaupun berdepan saingan sengit, Khairy berkata calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun menjadi pilihan terbaik kerana menjadi wakil rakyat sepenuh masa untuk Kajang tanpa komitmen lain seperti calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Ini kerana Chew tidak perlu menggalas tugas sebagai presiden parti dan perlu bersama suaminya dalam berdepan kes mahkamah.
"Tidak ada kena mengena komitmen beliau sebagai ibu dan nenek, tetapi kita tahu beliau berhadapan dengan kes mahkamah suami beliau dan ia memakan banyak masa dan komitmen perasaan," kata beliau.
Menurut Khairy lagi, beliau mengaku BN berdepan saingan sengit berikutan DUN Kajang merupakan 'kubu kuat' PKR malah menjadi 'pilihan' untuk 'Langkah Kajang'.
"Kita akui kawasan ini dimenangi mereka (pada) dua pilihan raya berturut-turut, kawasan yang mereka pilih untuk PRK, kita masuk ke kubu lawan di sini.
"Kita berusaha secara gigih dan bertungkus lumus. Banyak isu semasa yang kita dah cuba jawab. Persaingan sengit yang penting kita tak berputus asa sehinggalah hari pengundian," katanya.

