Polis tahan 6 individu, rampas bom tangan
Polis tumpaskan sebuah kumpulan penjenayah dikehendaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar ibunegara dan pembunuhan, dengan menahan enam anggotanya, merampas dua pucuk pistol dan sebiji bom tangan, di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam serbuan pertama pada 12.20 tengah malam Isnin, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita rakyat Thailand di sebuah hotel di ibukota.
"Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong 2, Kampung Baru Tanjung Sepat, Selangor kira-kira 5.45 petang semalam dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 Smith & Wesson serta tiga butir peluru," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.
Beliau berkata nombor siri pistol itu telah dikikis dan ia dijumpai dalam sebuah beg yang disembunyikan di dalam sebuah almari di rumah berkenaan.
Hasil soal siasat seorang daripada mereka telah membawa polis kepada penemuan sepucuk lagi pistol, Auto Sig Sauer 9 milimeter, 11 butir peluru dan sebiji bom tangan di sebuah pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam dekat sini kira-kira 1.45 pagi hari ini.
Polis juga menahan tiga lagi lelaki di rumah berkenaan, katanya.
Mohmad yakin dengan penangkapan enam suspek itu, polis telah menyelesaikan tiga kes rompakan di Subang Jaya, Gombak, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, satu kes bunuh di Pelek, Selangor selain 15 kes berkaitan rompakan dan pecah rumah di sekitar ibukota.
Beliau juga berkata tiga daripada enam suspek itu, mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk rompakan, ugutan jenayah, memiliki dan menagih dadah.
Kesemua mereka, yang berumur 21 dan 40 tahun, ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini, katanya.
- Bernama

