Muhyiddin: Pilih Mei Fun takkan menyesal
Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengingatkan pengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang supaya memilih seorang wakil rakyat yang senang ditemui dan komited terhadap amanah sebelum membuat keputusan pada hari pengundian, Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi memenuhi tuntutan semasa sebagai antara kawasan yang pesat membangun, pengundi Kajang perlu membuat pilihan bijak memilih seorang wakil yang mampu membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.
"Sebagai kawasan yang sedang membangun, Kajang mempunyai keperluan kompleks melibatkan soal infrastruktur, sosial, pendidikan dan keselamatan di mana semua ini perlu diurus secara yang terbaik oleh individu yang memiliki pengalaman secukupnya.
"Soalnya, apakah pengundi Kajang berada dalam keadaan serba salah untuk memilih antara dua calon yang bertanding dan di sini saya yakin antara kedua-duanya penduduk Kajang tahu siapa yang berhak dipilih," katanya disahut jeritan 'Chew Mei Fun' oleh ratusan hadirin yang merujuk kepada calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun.
Muhyiddin berada di Kajang untuk turut serta pada majlis Pentas Politik Perdana di Kajang, yang merupakan program kedua beliau bagi membantu kempen PRK DUN Kajang, selepas menyertai program Zumba Perdana petang semalam.
Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Chew.
Timbalan Pengerusi BN itu turut menarik perhatian bahawa pengundi juga perlu bertanya siapa yang akan dan boleh ditemui mereka selepas 23 Mac ini daripada terus terpengaruh dengan kempen 'belas kasihan' parti lawan.
Muhyiddin berkata pengundi juga tidak harus mengulangi kesilapan memilih calon PKR kerana jelas parti itu lebih mementingkan agenda pimpinan atasan daripada memperjuangkan suara dan nasib orang Melayu dan seluruh rakyat selepas diberi kepercayaan untuk menerajui kerajaan Selangor sebelum ini.
Beliau berkata bagi memastikan pengundi tidak akan menyesal jika memilih Chew, kerajaan Persekutuan akan menghulurkan segala bentuk bantuan bagi memastikan segala perancangan yang dibuat dilaksanakan sebaiknya.
Bagi memastikan segala janji dan perancangan yang dibuat Chew kepada rakyat Kajang ditunaikan jika dipilih, Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan sebuah badan khas diterajui Liow untuk merancang dan melaksana ikrar yang telah dibuat sepanjang kempen berlangsung.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita, iaitu Chew dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Jan lepas.
- Bernama

